R.Ramasamy. -Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Sama ada disebabkan faktor Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh atau sebaliknya, masyarakat Cina sudah sedia menjauh daripada Kerajaan Perpaduan, dakwa bekas pemimpin DAP, Dr. P. Ramasamy.

Menurut beliau, perkara itu dapat dilihat dengan peratusan keluar mengundi kaum Cina yang rendah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Julai lalu, yang diperkukuhkan lagi dengan peratusan rendah pada PRK DUN Mahkota.

Jelas beliau, pemimpin DAP tidak boleh menyembunyikan hakikat itu dengan menyalahkan Dr. Muhamad Akmal semata-mata kerana kemarahan sebenar kaum Cina ketika ini adalah kerana kerjasama parti tersebut dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“Rasa tidak puas kaum Cina terhadap UMNO merupakan perkara yang sudah lama berlaku.

“Berbanding terikat dengan retorik politik mengenai Kerajaan Madani, pemimpin DAP khususnya Liew (Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong) sepatutnya menumpukan perhatian untuk memahami punca kekecewaan pengundi Cina di Mahkota dan melangkaui PRK DUN itu.

“Kekecewaan kaum Cina terhadap kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN bermula di PRK DUN Sungai Bakap dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Chin Tong mendakwa perbalahan antara Dr. Muhamad Akmal dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal menjadi faktor mendorong pengundi Cina untuk protes dan tidak menunaikan tanggungjawab mengundi.

Bagaimanapun, Muhamad Akmal menepis dakwaan itu dan mengingatkan Chin Tong yang mana kaum Cina juga tidak keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Bakap, meskipun beliau tidak turun berkempen pada PRK itu.

Sementara itu, Ramasamy yang juga Presiden Interim Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) berkata, berdasarkan tinjauan, undi kaum Cina yang diperoleh calon BN pada PRK DUN Mahkota adalah disumbangkan oleh penyokong-penyokong MCA.

Malah, dakwanya, Urimai juga berjaya meyakinkan sebahagian besar pengundi India supaya tidak menyokong calon UMNO pada PRK DUN Mahkota, yang dapat dilihat daripada peratusan keluar mengundi kaum India yang turut rendah.

Sebelum ini, Institut Darul Ehsan (IDE) dilaporkan menganggarkan kadar peratusan keluar mengundi mengikut kaum pada PRK DUN Mahkota ialah pengundi Melayu sebanyak 61 peratus; Cina (49 peratus) dan India (48 peratus). – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here