DELEGASI pemimpin BN ketika mengadakan lawatan ke China minggu lalu.

KUALA LUMPUR – Lawatan kerja rasmi delegasi Barisan Nasional (BN) ke China yang berakhir minggu lalu adalah untuk menjalinkan hubungan berdasarkan prinsip kemerdekaan dan kesaksamaan antara kedua-dua negara.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Shamellya Norazizi, lawatan itu juga dibuat atas dasar saling menghormati dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara masing-masing, serta bekerjasama demi memajukan hubungan strategik Malaysia-China.

Jelas beliau, lawatan itu bukan perkara asing kerana pertukaran perwakilan sebegitu telah lama berlaku iaitu sejak 2010, namun terhenti pada 2018 selepas BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, ujar beliau, beberapa kejayaan turut dicapai sepanjang lawatan rasmi itu termasuk permeteraian memorandum persefahaman (MoU) supaya kedua-dua negara memberi keutamaan untuk mendalami pembangunan ekonomi dan sosial nasional masing-masing.

“Dalam MoU tersebut, kedua-dua negara berpendapat pertukaran antara pemimpin politik muda harus diberi keutamaan parti-ke-parti (party-to-party) untuk mendalami secara komprehensif mengenai pembangunan ekonomi dan sosial nasional masing-masing serta bagi meningkatkan persahabatan antara generasi muda kedua-dua negara.

“Perbincangan yang diadakan termasuklah pengurusan organisasi politik antara dua parti, penggunaan media dan penggunaan teknologi moden (pengurusan krisis); pembaharuan ekonomi dan kepelbagaian etnik’ serta produk halal,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamellya turut menyelar pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang cuba mengaitkan lawatan delegasi BN ke China tersebut dengan doktrin komunisme yang kononnya akan menyerap ke dalam BN dan UMNO.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai modal politik murahan, katanya, fitnah sedemikian tidak akan dapat memburukkan UMNO sebaliknya hanya mendedahkan kelemahan dan ketandusan idea dalam kalangan pemimpin PN. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast