KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin sebaiknya mengajar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terlebih dahulu sebelum beliau menasihati UMNO Sabah mengenai erti hormat.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, Foong Hin sepatutnya memberi nasihat kepada pemimpin-pemimpin DAP untuk tidak lagi menyentuh dan mempersoalkan urusan agama Islam yang tidak ada kaitan dengan mereka.
“Islam adalah agama rasmi seperti mana ia termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Maka, hormati kedudukan agama Islam dan berhenti mempolitikkan isu tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut menjelaskan isu pensijilan halal antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dan Kok sudah pun menjadi siasatan pihak berkuasa.
“Oleh itu, beri ruang sepenuhnya untuk pihak polis membuat siasatan dan mencari kebenaran.
“UMNO Sabah akan terus mempertahankan agama Islam tanpa rasa apologetik. Jika Foong Hin dan DAP Sabah menghormati UMNO Sabah kami juga akan menghormati DAP Sabah,” ujarnya.
Terdahulu, Foong Hin, menegaskan pentingnya UMNO mengawal pemimpin pemudanya menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.
“Jika UMNO tidak dapat mengawal atau menangani pemimpin pemuda yang berani memperjuangkan agenda mereka sendiri, kita akan bayar harganya dalam politik Sabah.
“Sebagai contoh, saya tidak fikir panggilan ‘nyonya tua’ akan diterima di sini (Sabah),” katanya seperti dilaporkan.
Dalam pada itu Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, mengenai soal kerjasama parti menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah, UMNO Sabah tidak berunding secara terus bersama DAP Sabah sebaliknya, ia dilakukan atas platform Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Beliau menekankan secara tegas agar Foong Hin tidak lagi memperbesarkan isu tersebut.
“Jika ingin terus kerjasama terbentuk, sila hormati agama Islam dan UMNO Sabah kerana bak kata pepatah kami bukan seperti ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’, atau ‘apatah lagi melukut di tepi gantang’,” katanya. – MalaysiaGazette