Suspek lelaki ditahan semalam selepas melakukan samun terhadap seorang pemandu e-hailing di tepi jalan berhampiran Pantai Tanjung Buluh, Kuala Sedeli, Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Polis menahan seorang lelaki selepas melakukan samun terhadap seorang pemandu e-hailing di tepi jalan berhampiran Pantai Tanjung Buluh, Kuala Sedeli, di sini, Khamis lalu.

Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan suspek di sebuah rumah Taman Daiman Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, siasatan mendapati suspek, 30-an terlibat kes samun yang dilaporkan mangsa di Balai Polis Kuala Sedili pada jam 5.25 petang Khamis lalu.

“Mangsa merupakan seorang pemandu kereta e-hailing iaitu seorang wanita tempatan berumur 52 tahun. Dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian RM860.

“Suspek melakukan samun tanpa senjata. Susulan laporan yang dibuat pihak polis berjaya mengesan dan menahan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Realme 6i, sehelai baju berserta seluar jeans pendek yang dipakai semasa melakukan kegiatan samun tersebut.

Polis katanya, juga merampas satu paket kecil plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 0.28 gram yang disimpan dalam dompet milik suspek.

Menurut beliau, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati saspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, suspek yang turut memiliki rekod jenayah lampau direman enam hari bermula hari ini hingga Isnin depan selepas mendapat kebenaran Mahkamah Majistret, di sini, untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah seksyen 392 Kanun Keseksaan bersabit kejadian samun tanpa senjata.

“Kes juga disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana positif dadah jenis Methamphetamine,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here