TOKYO- Semua penerbangan di Lapangan Terbang Miyazaki, Jepun terpaksa dibatalkan hari ini susulan satu letupan kecil yang masih tidak diketahui puncanya.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Berdasarkan gambar dan video diperolehi media tempatan, letupan dipercayai berlaku kira-kira 100 meter dari bangunan utama.
Jabatan bomba memberitahu AFP, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden melibatkan asap di lapangan terbang tersebut jam 7.59 waktu tempatan.
Mereka turut dimaklumkan staf lapangan terbang tersebut, “mungkin berlaku letupan bagaimanapun perkara itu tidak dapat disahkan.”
Menurut pegawai kanan kerajaan, Takehiro Maeda, pihak polis dan bomba sedang melakukan siasatan terhadap insiden tersebut.
Sementara itu, Japan Airlines berkata, syarikat tersebut terpaksa membatalkan 13 penerbangan yang membawa 790 penumpang susulan kejadian berkenaan.
Lapangan terbang Miyazaki yang dibuka pada 1943 pada asalnya adalah pangkalan udara diraja Jepun dan telah menghantar puluhan pesawat kamikaze bagi misi bunuh diri.
Akhbar Mainichi Shimbun melaporkan, bom tidak meletup yang digugurkan Amerika Syarikat semasa perang pernah ditemukan di tapak pembinaan berdekatan lapangan terbang tersebut pada 2009 dan 2011. -AFP