Presiden Makkal Sakti, Datuk RS Thanenthiran.

KUALA LUMPUR – Parti Makkal Sakti memohon supaya kerajaan dapat menimbangkan tol percuma kepada pengguna lebuh raya sempena sambutan perayaan Deepavali pada hujung bulan ini.

Menurut Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran, permohonan mereka itu sejajar dengan pemberian konsisten kerajaan pada hari-hari perayaan seperti Sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri sebelum ini.

Kata Thanenthiran, pemberian tol percuma pada perayaan itu pastinya bukan sahaja menggembirakan masyarakat India tetapi juga orang ramai yang turut pulang ke kampung atau melakukan kunjung-mengunjung.

“Memang sejak kebelakangan ini, kerajaan sentiasa tampil prihatin dalam membuat pengumuman tol percuma ketika musim perayaan, jadi Makkal Sakti ingin membuat permintaan supaya ianya dalam pertimbangan.

“Pada masa sama, kita juga amat berharap sempena Deepavali dalam beberapa minggu sahaja lagi, pihak kerajaan dapat juga bantu supaya harga barangan tertentu seperti beras, gula, minyak dan tepung dikawal,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sambutan Deepavali tahun ini jatuh pada 31 Oktober tahun ini. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here