Pathmanathan.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan sebarang gangguan bekalan air tidak berjadual di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K. Pathmanathan berkata, ia susulan banjir di Baling, Kedah semalam, telah menyebabkan air mentah di Sungai Muda menjadi keruh.

“Air Sungai Muda yang merupakan sumber air mentah utama bagi negeri ini telah tercemar akibat serpihan dan sisa yang dihanyutkan banjir menyebabkan kekeruhan air di muka sauk Lahar Tiang, Seberang Perai meningkat ke 400 NTU (unit kekeruhan nefelometrik) semalam berbanding tahap kekeruhan biasa sekitar 200 NTU.

“Sebagai tindak balas, PBAPP segera melepaskan air mentah dari Empangan Mengkuang yang diperbesarkan untuk mencairkan air yang tercemar sebelum memasuki Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

“Usaha ini membolehkan loji terus beroperasi pada kapasiti optimum tanpa gangguan bekalan air,” katanya dalam kenyataaan media hari ini.

Tambah Pathmanathan, kekeruhan air meningkat secara berperingkat sehingga 700 NTU pagi ini, namun PBAPP meneruskan pemantauan dan pelaksanaan pelan tindak balas kecemasan (ERP) bagi memastikan bekalan air kekal stabil.

“Langkah-langkah berjaga-jaga akan diteruskan selama 48 jam untuk mengelakkan sebarang isu bekalan air yang tidak dijangka.

“PBAPP mengambil pengajaran daripada insiden banjir di Baling pada 6 Julai 2022, di mana kekeruhan air mencecah 3,000 NTU dan menyebabkan gangguan bekalan air di Pulau Pinang yang menjejaskan lebih 465,000 pengguna,” katanya.

Semalam, beberapa kampung termasuk Kampung Tanjung Pari dan Kampung Bukit Sebelah di Baling dekat sini dilanda banjir berikutan hujan lebat.

Susulan itu, sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu sejak malam tadi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, SK Seri Bayu, SK Siong dan SK Malau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here