Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Simposium Kemiskinan Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 30 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Keputusan Oracle membuka pusat pengkomputeran awan awam pertamanya di Malaysia bukti keyakinan syarikat dunia terhadap Malaysia.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia juga mencerminkan potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi infrastruktur awan dan meyokong pertumbuhan ekosistem kecederasan buatan (AI).

Tambahnya, pelaburan berjumlah AS$6.5 bilion (RM27 bilion) yang dibuat Oracle didukung dasar yang jelas dan kerjasama strategik kerajaan Madani.

Ini dapat dilihat menerusi pelaburan-pelaburan terdahulu yang dibuat oleh Amazon Web Services, Microsoft dan Google.

Tambah beliau, keseluruhan projek yang diumumkan oleh syarikat-syarikat itu sehingga kini melibatkan pelaburan keseluruhan yang dianggarkan bernilai AS$16.9 bilion (RM70.3 bilion).

“Penting bagi tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan-pelaburan ini.

“Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, saya tekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan  kumpulan masyarakat,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Anwar, beliau yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi MADANI akan dapat dicapai.

Terdahulu, media melaporkan, Oracle hari ini mengumumkan rancangan melabur lebih AS$6.5 bilion (RM27 bilion) bagi mewujudkan wilayah pengkomputeran awan awam di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awannya.

Dalam satu kenyataan, Oracle menjelaskan, wilayah pengkomputeran awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada infrastruktur pengkomputeran awan Oracle (OCI).

Semalam, Anwar turut merasmikan upacara pecah tanah bagi pembinaan pusat data dan pengkomputeran awan yang akan dibangunkan sebuah lagi syarikat teknologi dunia iaitu Google.

Pusat data yang akan dibina di Elmina Business Park, Selangor itu melibatkan pelaburan sebanyak AS$2 bilion (RM8.29 bilion) dan dianggarkan dapat menyumbang lebih daripada AS$3.2 bilion (RM13.27 bilion) kepada ekonomi Malaysia dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here