Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Seorang remaja maut setelah terjatuh dari tingkat lapan bangunan sebuah sekolah di Jalan Syed Putra, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pusat kawalan IPD Brickfields menerima makluman orang awam mengenai insiden itu pada jam 6.59 petang semalam.

Katanya, bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan dipercayai mangsa seorang pelajar perempuan telah jatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Tambah Ku Mashariman, mayat mangsa berusia 13 tahun itu dirujuk ke Bahagian Forensik dan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya.

Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah di dalam kes kematian pelajar tersebut.

“Kes kematian ini telah diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

“Justeru itu, pihak polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran orang awam dan menghentikan penularan kejadian ini di media sosial.

“Orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here