KUALA LUMPUR – Penganjuran program pembelajaran sepanjang hayat, memberi peluang kepada warga emas untuk terus meneroka perkara baharu.
Pengarah Institusi Pendidikan Penuaan Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim berkata usaha itu bukanlah suatu perkara yang mudah kerana langkah pertama yang perlu diambil adalah mengubah cara pemikiran mereka.
“Mentaliti mereka yang kebanyakan berfikir tiada perkara baharu yang mereka boleh nantikan atau membuat mereka teruja di usia tua.
“Walaubagaimanapun, dengan adanya program rintis yang diadakan bukan sahaja akan membantu kesihatan mental dan fizikal mereka tetapi juga membolehkan golongan itu meneroka perkara baharu yang berbeza,” katanya.
Rahimah berkata demikian dalam Forum hak warga emas kepada hak ekonomi, sosial dan kebudayaan di di sini, hari ini.
Sebelum ini, program rintis untuk warga emas mula dijalankan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak awal tahun 2007 dan kini, telah dimerdekakan sebagai satu persatuan iatu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) UKM pada tahun 2019.
Program itu memberikan fokus kepada lima dimensi daripada aspek kerohanian, sosial, kesihatan, ekonomi dan persekitaran.
Antara aktiviti yang dilakukan adalah mengaji, bersenam, pembelajaran asas tentang kesihatan, memasak dan juga aktiviti pembersihan.
“Mereka akan merasai pengalaman belajar secara santai dan bukanlah hadir untuk belajar mengambil sijil atau ijazah,
“Kebanyakan peserta yang pernah hadir ke program ini berpendapat, ia berjaya mengubah mentaliti mereka.
“Walaupun pada awalnya mereka berasa sukar tetapi peluang tersebut tidak disia-siakan dan kini kita dapat melihat satu perubahan yang positif.
“Penuaan adalah satu perubahan namun tidak semestinya ia dalam bentuk penurunan. Ilmu itu boleh diterokai dari bayi hingga ke liang lahad,” tambahnya.
Pembelajaran sepanjang hayat ini juga telah diterapkan di dalam Rancangan Malaysia ke-11 sebagai satu program bagi meningkatkan penuaan aktif dan produktif dalam kalangan warga emas. – MalaysiaGazette