PETALING JAYA – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan membunuh pereka dalaman dengan 20 tikaman di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Damansara tiga minggu lalu.

Tertuduh, Lim Wah Siong, 50, mengangguk tanda faham selepas mendengar pertuduhan dibacakan kepadanya  di hadapan Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Walaubagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, Wah Siong didakwa membunuh Muhammad Sharqawi Abu Bakar, 36, di sebuah unit pangsapuri Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara pada jam 9 malam, 14 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 8 November depan untuk sebutan kes bagi laporan kimia dan bedah siasat.

Kes tersebut diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya,  Nurain Syafiqeen Mohd Rozi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebagai rekod pada 16 September lepas, media melaporkan seorang pereka dalaman berusia 36 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah unit pangsapuri di Bandar Sri Damansara dengan 20 kesan tikaman di seluruh badan, termasuk tangan dan kepala.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here