Suhaizan hadir dalam program perasmian besi penutup longkang yang baharu di sebuah sekolah di Taman Perling, Johor Bahru pada 29 September lalu

JOHOR BAHRU – Kesudian Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat merasmikan program perasmian besi penutup longkang yang baharu di sebuah sekolah di sini tidak wajar dipersenda atau dijadikan bahan politik mana-mana pihak hingga tular dalam media sosial.

Suhaizan menjelaskan, kehadiran beliau adalah atas jemputan pihak sekolah rendah terbabit di Taman Perling pada 29 September lalu sekali gus tidak mahu menghampakan mereka.

“Perasmian ini adalah permintaan pihak sekolah yang ingin mengucapkan terima kasih atas bantuan projek PMR (Projek Mesra Rakyat) untuk membina besi longkang sekolah.

“Selama ini banyak kemalangan berlaku di sekolah kerana ketiadaan longkang ini. Terdapat empat blok yang tiada penutup longkang dan ramai murid sudah jatuh.

“Semuanya tiada penutup longkang. Pihak sekolah sangat menghargai sumbangan daripada peruntukan PMR ini.

“Saya hadir bagi memenuhi permintaan sekolah sahaja. Tak molek rasanya menghampakan harapan sekolah,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Suhaizan, beliau tidak ada isu dan tidak kisah program berkenaan tular dalam media sosial.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard memuat naik foto-foto perasmian program tersebut dalam Facebook miliknya.

Menerusi foto-foto perasmian program tersebut, beliau memuat naik kapsyen dengan mengucapkan tahniah dan ‘memuji’ Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor.

“Tahniah Suhaizan Kayat Ahli Parlimen Pulai dari parti Amanah – PH yang bersungguh merasmikan besi penutup longkang.

“Aksi ini nampaknya mampu memintas aksi MP rasmi pintu lif , MP rasmi kepala paip dan lain lain….

“Apa pandangan anda MP kerajaan rasmi penutup longkang,” soal Che’gu Bard.- Malaysiagazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here