KUALA LUMPUR – Sayap Bersekutu BERSATU dengan tegas menolak cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan subsidi pendidikan kepada golongan kaya.
Ketua Penerangannya, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, cadangan tersebut bukan sahaja satu kesilapan dasar yang serius, tetapi juga mengancam masa depan negara.
“Kami melihat ini sebagai ancaman terhadap pembangunan negara. Sistem pendidikan yang adil adalah faktor penyamarataan yang penting bagi masyarakat.
“Negara-negara seperti Singapura dan Finland telah membuktikan kejayaan ekonomi melalui pelaburan besar dalam pendidikan untuk semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sanjeevan, lima sebab utama mengapa cadangan ini perlu ditolak antaranya kerana ia menafikan akses kepada pendidikan berkualiti, menimbulkan ketidakadilan dalam menentukan siapa yang kaya.
Jelas beliau, ini juga mengancam perpaduan rakyat, bersifat populis tanpa memikirkan masa depan anak-anak selain boleh mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Langkah ini boleh menyebabkan wujudnya dua tahap pendidikan di Malaysia – satu untuk golongan berada dan satu lagi untuk yang kurang berkemampuan.
“Ini akan meluaskan jurang sosial dan ekonomi, membawa kepada ketidakstabilan sosial jangka panjang.
“Cadangan ini juga mencerminkan kegagalan kerajaan dalam mengurus sumber negara secara cekap.
“Mengapa tidak kita tangani isu pembaziran dan ketirisan dalam sistem pendidikan terlebih dahulu? Selesaikan isu-isu ini sahaja boleh menyediakan dana yang mencukupi untuk meningkatkan kualiti pendidikan tanpa perlu mendiskriminasi mana-mana golongan,” tegasnya.
Katanya lagi, dasar diskriminasi pendidikan ini bercanggah dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terutamanya SDG 4 yang menekankan pendidikan berkualiti untuk semua.
“Oleh itu, Sayap Bersekutu BERSATU menggesa kerajaan untuk menarik balik cadangan ini dengan serta-merta dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Sanjeevan juga menggesa kerajaan melancarkan pelan komprehensif untuk meningkatkan kualiti pendidikan, melabur dalam inovasi pendidikan dan pembangunan guru, mengadakan dialog nasional mengenai masa depan pendidikan, serta menubuhkan jawatankuasa parlimen khas untuk menambah baik sistem pendidikan negara.
“Pendidikan adalah pelaburan paling berharga untuk masa depan negara. Sayap Bersekutu BERSATU menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mempertahankan hak pendidikan untuk semua, demi masa depan anak-anak dan negara kita,” ujarnya. -MalaysiaGazette
Henti subsidi golongan kaya di pendidikan awam tepati konsep keadilan sosial