Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan mengesahkan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berada di Lubnan dalam keadaan selamat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tiada kemalangan jiwa dan kerosakan aset, susulan serangan regim zionis di kawasan kampung di selatan Lubnan.

Ujar beliau, semua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk pasukan MALBATT 850-11 telah diarahkan tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik pada waktu ini.

“Mengambil kira keselamatan petugas, Markas UNIFIL telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu (bunker drill) mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama beliau berkata, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi semasa dan akan mengemas kini sebarang perkembangan melibatkan pasukan MALBATT 850-11 di di Selatan Lubnan.

Sementara itu jelas Mohamed, perancangan penarikan balik pegawai dan anggota pasukan tersebut pulang ke Malaysia adalah tertakluk kepada kelulusan UNIFIL.

Jelasnya, keputusan akan dibuat berdasarkan tahap keselamatan dan ancaman di dalam Kawasan.

Sebagai rekod, tentera kejam Israel melakukan serangan udara intensif yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Lubnan sejak 23 September lalu.

Ia susulan ketegangan yang semakin meningkat dengan pejuang Hizbullah.

Sejak 8 Oktober 2023, Hizbullah dan tentera Israel sering berbalas tembakan merentasi sempadan Lubnan-Israel di tengah-tengah kebimbangan konflik yang lebih meluas ketika perang antara Hamas dan Israel berterusan di Semenanjung Gaza.

Terbaharu dilaporkan seramai 50 orang maut, manakala 156 lagi cedera dalam serangan udara tentera Israel ke atas Lubnan dalam tempoh 24 jam.

Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, 11 daripada kematian dilaporkan di daerah Baalbek-Hermel, Gabenor Nabatieh (22), masing-masing tiga di Beirut dan Gunung Lebanon serta Gabenor Selatan (16).-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here