Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (kiri) menyerahkan watikah pelantikan Ketua Pengarah JAKIM kepada Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee. - Foto FB JAKIM

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah baharu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berdepan harapan besar di sebalik jangkaan orang ramai untuk melihat reformasi struktural berlaku dalam badan agama itu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, Sirajuddin juga berdepan cabaran bagaimana mengatasi isu prestasi pegawai-pegawai Jakim yang perjawatannya terhad secara tertutup.

Mujahid Yusof

Jelasnya, situasi itu menyebabkan galakan untuk peningkatan mahupun tekanan untuk memenuhi prestasi sentiasa menjadi cabaran besar untuk menjayakan reformasi Jakim.

Selain itu, ujar Mujahid yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), isu berkenaan Islam sebagai agama Persekutuan yang sering menjadi bahan politik meletakkan Jakim dalam keadaan tertekan antara menjelaskan dasar dan mengelak kenyataan politik kepartian.

“Masalah umat Islam seperti ajaran sesat, kebencian agama dan peningkatan kelompok khawarij moden juga menuntut Jakim menanganinya secara dasar dengan lebih berwibawa dan berkesan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Semalam, Sirajuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim dilantik sebagai Ketua Pengarah Jakim menggantikan Datin Paduka Hakimah Mohd. Yusoff, iaitu wanita pertama yang memegang jawatan itu sejak 21 Mac 2022.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan Sirajuddin, 57, merupakan salah satu usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam.

Sementara itu, Mujahid berkata, Amanah menyokong keperluan untuk Jakim membawa budaya transformasi bagi menjayakan gagasan besar Madani yang mana peruntukan besar untuk pentadbiran Islam Persekutuan perlu digerakkan.

Tambahnya, selari dengan perubahan kepimpinan Jakim, Pejabat Menteri Agama juga perlu menjadi pemangkin untuk menjayakan transformasi Jakim.

“Semoga Jakim dapat memenuhi jangkaan awam khususnya dari umat Islam ke arah transformasi dan menjadi pemangkin utama Madani dengan pelantikan Sirajuddin sebagai Ketua Pengarah yang baharu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast