Usaha carilamat nelayan warga emas terjatuh dalam laut di perairan Batu Laut, Selangor pada hari ketiga tidak membawa petunjuk.Ihsan Maritim Selangor

KUALA LUMPUR – Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan seorang nelayan yang telah dilaporkan hilang selepas disyaki terjatuh ke dalam laut di perairan Batu Laut, Selangor pada Isnin lalu masuk hari ketiga.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot Perkasa 35 telah diatur gerak ke lokasi mangsa dipercayai terjatuh diperairan tersebut.

“Kini sektor pencarian telah diperluaskan kepada 14 batu nautika persegi bermula pukul 7.00 pagi Rabu.

Misi carilanat nelayan terjatuh di laut yang memasuki hari ketiga diteruskan oleh pasukan bersepadu termasuk Maritim Selangor pada Rabu.Ihsan Maritim Selangor

“Namun, sehingga petang tadi, tiada sebarang petunjuk positif ditemukan dan pencarian masih memfokuskan di sekitar posisi terakhir mangsa jatuh laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Abdul Muhaimin, Op Carilamat terbabit turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Skuad PANTAS Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan beberapa bot nelayan tempatan.

Terdahulu mangsa yang dikenalpasti sebagai K. Kesavan Ramakrishnan, 60, dikatakan keluar ke laut bersama rakan menggunakan bot kelas A dengan mengenakan baju kolar belang merah putih dan berseluar pendek berwarna gelap.

Mangsa nelayan terjatuh laut Kesavan Ramakrishnan, 60 yang masih hilang pada hari ketiga dipergiatkan pencarian oleh Maritim Selangor-Ihsan Maritim Selangor

Berdasarkan laporan awal yang diterima, kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan terjatuh selepas besi yang dipegang berhampiran kemudi bot patah.

Wakil Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Langat, Zanizam Ismail telah membuat aduan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Usaha carilamat nelayan warga emas terjatuh dalam laut di perairan Batu Laut, Selangor pada hari ketiga tidak membawa petunjuk dan misi diteruskan untuk jejaki warga emas yang masih hilang.Ihsan Maritim Selangor

Komuniti Maritim turut dinasihatkan sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda.

Sekiranya terdapat maklumat bagi sebarang insiden di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi secara 24 jam.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here