Tan Seng Lee

KULAI – Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat mencuri kabel telekomunikasi milik sebuah syarikat di Taman Pancasila, Saleng, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tan Seng Lee berkata, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 2.32 pagi kelmarin.

“Lelaki berkenaan memberitahu pengurus syarikat tempatnya bekerja memaklumkan tentang kejadian itu sebelum dia pergi ke lokasi kejadian.

“Dia mendapati kabel telekomunikasi telah dipotong dan berada atas jalan raya. Lelaki itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bertindak atas maklumat, Seng Lee berkata, pada pukul 4.30 petang semalam sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai memburu suspek.

Katanya, pihak polis berjaya mengesan dan membuat serbuan di dua lokasi berbeza di Johor Bahru.

Menurut Seng Lee, hasil serbuan tersebut pihak polis menahan tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 17 hingga 33 tahun.

Dalam serbuan tersebut katanya, pihak polis merampas sebuah kereta, dua telefon bimbit, satu kunci kereta alat kawalan jauh dan wang tunai RM8,800.

Tambahnya, turut ditemui satu bungkusan kain warna unggu diikat menggunakan dawai besi dan di dalamnya terdapat beberapa batang aluminium yang telah dipotong ukuran saiz pendek.

“Tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek dipercayai berjaya menyelesaikan kes curi kabel di daerah Kulai. Siasatan masih diteruskan bagi mendedahkan penglibatan suspek dalam kes jenayah lain.

“Ini termasuk kes jenayah lain yang dilakukan di luar Kulai. Kita juga sedang mengesan dua lagi rakan suspek yang masih bebas,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiganya negatif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 431 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, katanya.

Reman terhadap semua suspek, ujar beliau, selama empat hari bermula hari ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here