Istana Kehakiman, Putrajaya

PUTRAJAYA – Nasib tujuh warga Filipina termasuk salah seorangnya menggelar diri sebagai ‘Sultan Sulu’ akan diputuskan sama ada kekal ke tali gantung atau hukuman penjara berikutan tragedi pencerobohan berdarah di Lahad Datu, Sabah 11 tahun lalu.

Panel-panel hakim akan membuat keputusan berhubung permohonan semakan rayuan hukuman gantung itu pagi ini sekitar jam 9 pagi.

Tujuh individu itu ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram yang merupakan anak saudara Jamalul Kiram yang mengakui dirinya Sultan Sulu yang kini berusia 60 tahun.

Enam lagi ialah Atik Hussin Abu Bakar, 52; Basad H. Manuel, 49; Virgilio Nemar Patulada, 59; Al Wazir Osman, 68; Tani Lahad Dahi, 70; dan Julham Rashid, 75.

Ketujuh-tujuh pesalah ini memohon supaya mahkamah mengetepikan hukuman mati dan digantikan dengan penjara selepas Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

Untuk makluman, undang-undang baharu ini membolehkan hakim menggunakan budi bicaranya dalam menentukan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun.

Undang-undang ini juga memperuntukkan hukuman sebat tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki bawah 50 tahun jika hukuman gantung digantikan.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap sembilan anggota pengganas warga Filipina itu selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk diringankan pada 2018.

Namun difahamkan dua lagi pesalah Ismail Yassir dan Salib Akhmad Emali tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk menggantikan hukuman gantung itu.

Pada 8 Jun 2017, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadap semua perayu.

Mahkamah itu juga ketika keputusan sabitan mengubah hukuman penjara sepanjang hayat yang dikenakan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 26 Julai 2016 kepada hukuman mati selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi hukuman.

Dalam insiden percerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Februari dan 10 April 2013, sembilan anggota pasukan keselamatan Malaysia terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan terbabit. -MalaysiaGazette