Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Low Taek Jho atau Jho Low adalah individu yang sangat rapat dengan Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dalam hujah akhir prosiding kes itu mendakwa, watak Jho Low benar-benar wujud dan bukannya satu rekaan.

Katanya, disebabkan hubungan rapat tersebut, pengurusan 1MDB dan ahli lembaga pengarah syarikat itu mematuhi semua arahan yang diberikan ahli perniagaan berkenaan.

“Jho Low ada di mana-mana termasuklah percutian keluarga Najib atas kapal mewah antara tahun 2009 dan 2010. Ada gambar untuk buktikan dakwaan ini.

“Kebanyakan saksi juga mendakwa pernah melihat Jho Low keluar masuk pejabat Najib, keluar masuk rumah Najib di Langgak Duta, saksi ada mengesahkan perkara itu dan gambar Jho Low di mahkamah.

“Jho Low ini ada di mana-mana dalam kes ini dari awal hingga akhir. Beliau terlibat dalam banyak perkara dan banyak transaksi,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sehubungan itu hujah Ahmad Akram, saksi seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak boleh dipersalahkan kerana menuruti arahan Jho Low berkaitan dana 1MDB kerana keakraban beliau dengan Najib itu diketahui orang sekelilingnya.

“Saksi ini memberi keterangan tentang apa yang telah mereka lakukan seperti diarahkan oleh Jho Low kerana mempunyai tanggapan seperti itu.

“Walaupun ada kalanya arahan itu datang daripada Allahyarham Datuk Azlin Alias dan Jho Low, tapi mereka anggap itu adalah arahan Perdana Menteri.

“Sebenarnya Najib tahu tentang penyelewengan dana 1MDB dan transaksi-transaksi ini,” tegasnya.

Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here