Tan Sri Nazir Razak semasa ditemu bual Shahril Hamdan dalam KS Lagi

KUALA LUMPUR- Perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang hanya memberi tumpuan kepada Datuk Seri Najib Razak adalah tidak adil.

Meskipun tidak mahu mencampuri urusan perundangan negara, adik bongsu Najib, Tan Sri Nazir Razak berkata, beliau sebenarnya bimbang mengenai perkara itu.

“Saya tidak mahu memberi komen mengenai proses perundangan tetapi saya agak bimbang kerana fokus keseluruhan 1MDB hanya tertumpu kepada seorang individu sahaja (Najib), saya rasa ini tidak adil,” katanya ketika ditemu bual Shahril Hamdan dalam program KS Lagi yang disiarkan di media-media sosial.

Menurut Nazir, beliau telah beberapa kali melawat Najib di penjara dan tidak berselindung menzahirkan harapan supaya abang sulungnya itu dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapi.

Bagaimanapun, tokoh korporat yang terkenal sebagai seorang yang tegas dan berprinsip itu juga pernah memberitahu abangnya bahawa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, Najib sepatutnya menghentikan 1MDB sebelum masalahnya bertambah besar.

“(Semasa melawat beliau dipenjara) Kami memang ada bercakap mengenai apa yang berlaku dan saya sentiasa mengingatkan beliau, apa pun yang terjadi, kamu abang saya.

“Saya sangat sayangkan kamu dan saya tidak pernah mahu menjatuhkan kamu.

“Saya cuma sangat fokus terhadap skandal 1MDB dan sama ada kamu tahu atau tidak (mengenai skandal itu semasa masih menjadi Perdana Menteri), saya tidak tahu. Tetapi kamu tidak menghentikannya, jadi itulah isunya” ujar beliau lagi.

Menurut Nazir, beliau berharap Malaysia mengambil pengajaran daripada semua isu sistemik yang ditimbulkan oleh 1MDB.

Katanya, sebagai seorang ahli perbankan, beliau sudah menyedari isu yang bakal dicetuskan 1MDB (ketika itu masih Terengganu Investment Authority) apabila ia menerbitkan bon bernilai RM5 bilion pada 2009.

Beliau segera menyatakan pendapatnya kepada Najib namun ia tidak berlangsung dengan baik.

“Hubungan kami menjadi kurang selesa dan perkara itu tidak lagi dibincangkan,” katanya lagi.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, dan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here