Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melawat pameran yang dipamerkan pada Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu di Bangunan Menteri Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2024

PUTRAJAYA – Akses pendidikan kepada semua rakyat tetap kekal biar pun terdapat bayangan kerajaan mungkin menghentikan subsidi yang membiayai anak golongan kaya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, dasar itu tidak akan berubah kerana peluang pendidikan perlu diberikan kepada semua peringkat sama ada B40, M40 atau T20.

Penegasan dibuatnya kerana terdapat kritikan kononnya kerajaan cuba mendiskriminasi kumpulan tertentu kepada akses pendidikan dan dakwaan itu adalah tidak benar.

“Saya ingin membetulkan kepada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi seolah-olah kerajaan ini tidak tahu atau pun (mendakwa) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri tidak tahu realiti yang ada (kononnya) mengatakan bahawa orang kaya tidak akan pergi ke universiti atau pun tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

“Ini adalah satu pandangan yang bermain dengan sentimen politik dan sebab itu apabila kita menyuarakan pandangan ini, kita mahu supaya kalau ada pun pandangan atau kritikan, berikan pandangan yang membina supaya kerajaan boleh melihat dari perspektif yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2024 di sini hari ini.

Terdahulu sebelum ini, Perdana Menteri memberi bayangan kerajaan mungkin menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya.

Menyifatkan tindakan membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan sebagai tindakan tidak adil, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan memberitahu, dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin.

Ujarnya, kerajaan mahu bersikap adil dalam mengagihkan bantuan dengan mengutamakan kumpulan memerlukan seperti golongan rentan.

Bagaimanapun, Zambry semalam dilaporkan berkata, sebarang langkah menghentikan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) hanya akan dilaksana selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya memanipulasi apa yang disuarakan oleh Perdana Menteri berhubung perkara itu.

Katanya, apa yang disampaikan Perdana Menteri merujuk kepada sektor pendidikan tinggi.

“Dasar kerajaan untuk memberi peluang kepada semua peringkat, semua kalangan sama ada mereka daripada B40, M40 termasuk juga T20 untuk masuk ke universiti adalah sama.

“Tetapi pada masa sama, kita perlu melihat juga kemampuan kewangan terutama dalam kalangan keluarga susah dan sukar mendapat tempat belajar, ini kita berikan keutamaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast