Ammar Atan

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan mencadangkan Formula Menang Bersama bagi memastikan setiap keputusan yang diambil di bawah Kerajaan Perpaduan memberi manfaat kepada semua pihak.

Dalam masa sama, ia tidak menafikan peranan mana-mana komponen gabungan, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan.

Menurutnya, kepimpinan Kerajaan Perpaduan perlu memperhalusi formula itu dan menjadikannya sebagai dasar pelaksanaan di semua peringkat pentadbiran seperti yang telah berjaya dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional menambah, formula itu bukan sahaja dapat mengelak sebarang konflik dalaman malah berpotensi untuk mengukuhkan perpaduan di semua peringkat sama ada di negeri mahupun Persekutuan.

“Ini selaras dengan saranan cadangan Veteran UMNO, Mustapha Yaakub, agar formula jalan tengah diwujudkan untuk memperkukuh kesinambungan kerajaan perpaduan dan memastikan setiap komponen dalam Kerajaan Perpaduan diberikan peranan yang sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Ammar, dengan menginstitusikan dasar itu di semua peringkat, beliau yakin Kerajaan Perpaduan dapat memperkukuh perpaduan, menstabilkan politik dan mengekalkan keyakinan rakyat.

Jelasnya, sinergi itu jika diperkukuhkan akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, taraf hidup rakyat yang lebih baik serta negara yang lebih harmoni dan madani.

Sebelum ini, wujud desakan berterusan Pakatan Harapan (PH) Johor kepada Barisan Nasional (BN) supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di negeri itu selepas kejayaan besar Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu lalu.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dilaporkan berkata, penubuhan Kerajaan Perpaduan tidak perlu ditangguhkan lagi sekiranya pemimpin PH dan BN beranggapakan gabungan kedua-dua blok parti itu merupakan yang terbaik untuk masa depan negara dan Johor. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here