Chang Lih Kang

SERDANG – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap kerajaan dapat memberikan lebih peruntukan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) pada perbentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, pertambahan peruntukan itu perlu memandang kepada kedudukan negara dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2024 meningkat dari kedudukan 36 kepada 33 terbaik dunia daripada 133 negara dengan skor keseluruhan 40.5.

“Lebih banyak (peruntukan), lebih baik. Biasanya, sumber sentiasa menjadi cabaran. Jadi, kita tidak boleh mengharapkan tambahan setiap tahun.

“Saya fikir R&D sains dan teknologi tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan. Ia memerlukan mekanisme lain yang sesuai dengan industri. Inisiatif seperti ini antara KPT dan industri amat penting.

“Jadi, lebih banyak peruntukan memang dialu-alukan,” katanya ketika menghadiri majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan NXP Malaysia Sdn Bhd hari ini.

Kerjasama tersebut  menyokong tumpuan pelan hala tuju kepada penyelidikan dan pembangunan serta pembangunan bakat tempatan dengan menyediakan pengalaman praktikal kepada pelajar dalam teknologi terkini.

Antaranya menempatkan mesin pengikat wayar di Makmal Kerjasama UPM-NXP yang dapat merapatkan jurang antara pengetahuan teori dan aplikasi praktikal, menjadikan mereka bersedia untuk menghadapi cabaran tenaga kerja.

Jelas Lih Kang lagi, pelaburan kerajaan dalam sektor penyelidikan dan pembangunan adalah rendah terutamanya di sektor swasta.

“Salah satu bidang yang perlu kita tingkatkan aadalah perbelanjaan kasar (gross expenditure) dalam R&D. Pelaburan kita dalam R&D terlalu rendah terutamanya dalam sektor swasta.

“Kami berharap kerajaan boleh memperkenalkan beberapa inisiatif untuk merangsang pelaburan R&D dalam sektor swasta,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata, dengan adanya peruntukan yang lebih daripada kerajaan maka MOSTI akan dapat menggerakkan langkah penghayatan sains dan budaya, serta mempromosikan sains dan teknologi dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya di peringkat sekolah rendah.

Sebelum ini, TA Securities menjangkakan Belanjawan 2025 dijangka terus mengetengahkan langkah menambah baik daya saing negara untuk menarik pelaburan, pembaharuan fiskal yang lebih pantas, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan pengagihan kekayaan yang saksama.

Pada masa sama, belanjawan tahunan itu juga perlu menekankan perbelanjaan berhemat, pengurangan subsidi dan pengurangan dalam pinjaman bersih tahunan, meningkatkan tadbir urus dan mekanisme penyampaian awam serta meneruskan agenda kelestarian untuk masa depan yang lebih baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast