Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengesahkan seramai 24 ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), isteri dan anak-anaknya akan disambung reman untuk membantu siasatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, kesemua individu itu telah ditangkap semula di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 selama lima hari sebelum ini.

“Tangkapan dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas kesemua mereka untuk disiasat bawah ATIPSOM 2007.

“Polis akan memohon perintah sambung reman terhadap kesemua 24 orang itu sebaik tempoh reman mereka berakhir pada hari esok (Jumaat) untuk membantu melengkapkan kertas siasatan polis dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Razarudin, kesemua 24 individu itu termasuk CEO, isteri dan anak-anaknya tidak lagii ditahan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012  (SOSMA).

Justeru, katanya, jumlah individu terkait sebagai ahli GISBH yang masih ditahan reman adalah seramai 93 orang manakala seramai 34 lagi ahli masih ditahan di bawah SOSMA.

Ditanya mengenai jumlah aset milik kepimpinan dan ahli GISBH yang dirampas dan disita, Razarudin memaklumkan setakat ini pembekuan aset yang dilaksanakan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) adalah akaun berjumlah RM1,358,020.37 dan satu akaun berjumlah USD1,344.26; 31 buah motokar dan bas pelbagai jenis dan 19 lot hartanah.

Ia menjadikan jumlah terkini keseluruhan Penyitaan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) adalah sebantak 19 buah kereta dan sebuah buah lori; haiwan dengan anggaran keseluruhan RM230,000; wang tunai RM16,850.00; dua utas jam tangan berjenama Amazfit nilai anggaran RM600, katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here