Ihsan Foto : DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah meningkatkan kadar elaun pangkat lokal para anggota lain-lain pangkat.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, tujuan kenaikan elaun untuk mengukuhkan lagi motivasi dan menghargai jasa mereka yang telah berkhidmat untuk DBKL.

“Kadar untuk elaun pangkat lokal lain-lain pangkat telah dinaikkan ke RM40 hingga RM120 sebulan sejak tahun lalu.

“Selain itu, kami juga bakal melaksanakan penambahbaikan dan perubahan bagi proses kerja di Jabatan Penguatkuasaan DBKL dengan mengatur penempatan dan sistem penggiliran pegawai dan anggota bertugas di lapangan.

“Ini akan dilakukan dengan penambahbaikan waktu bekerja bukan pejabat atau waktu bekerja secara syif,” katanya  kepada media selepas Sambutan Hari Penguat Kuasa ke-55 di Menara Jabatan Penguatkuasa DBKL hari ini.

Pihaknya juga telah bersetuju untuk memberikan elaun syif pada kadar RM400 kepada gred 19 hingga RM300 kepada gred 1 hingga 16.

Maimunah turut menggesa agar anggota penguat kuasa DBKL untuk bertegas dalam melakukan tugas bagi mengukuhkan integriti dan akauntabiliti dalam setiap tindakan yang diambil.

“Semoga inisiatif ini dapat memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai sebuah bandaraya bertaraf dunia, bersih, selamat dan harmoni untuk didiami,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here