Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan ‘projek sakit’ yang dikenalpasti di seluruh negara hanyalah 24 bersamaan 3.06 peratus daripada 785 projek di bawah Kementerian Kerja Raya.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, antara punca utama kelewatan projek untuk siap berpunca daripada masalah dalaman yang dihadapi pihak kontraktor iaitu sebanyak 80 peratus.

“Projek sakit selalu menjadi sebutan tetapi peratusnya hanyalah sedikit iaitu sebanyak 24 bersamaan dengan 3.06 peratus daripada keseluruhan 785 projek.

“Walaubagaimanapun, jumlah projek sakit telah dapat dikurangkan sehingga 97 peratus dan diisytiharkan sebagai projek sihat dan masuk ke dalam projek berjadual,” katanya.

Ahmad berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Tapak Projek Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa projek penukaran bumbung Istana Budaya (IB) yang sebelum ini dijangka akan siap pada 5 Januari 2026 dapat disiapkan lebih awal.

“Sukacita saya maklumkan bahawa penukaran bumbung IB dijangka dapat diselesaikan lebih awal iaitu pada Oktober 2025 kerana projek itu berjalan sangat lancar.

“Nampaknya, hasil kerjasama dan pemantauan yang dilakukan secara proaktif oleh pihak Jabatan Kerja Raya membuahkan hasil dan dapat mengurangkan projek sakit secara maksimum,” tambahnya.  – MalaysiaGazette.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here