Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam lawatan ke tapak pembinaan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Kuala Lumpur, hari ini. Ihsan Foto : KKR

KUALA LUMPUR – Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), yang bakal menjadi Pusat Kefungsian Forensik Pertama di Asia Tenggara dijangka siap sepenuhnya, 6 Oktober 2026.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, pembinaan projek ini dimulakan pada 12 Oktober 2022 dan melibatkan keluasan tapak kira-kira 1.2 hektar bersebelahan Jalan Tun Razak, di sini.

“IPFN akan menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan forensik seperti Forensik Patologi, Forensik Klinikal, Forensik Odontologi, Forensik Radiologi, Makmal Forensik Bersepadu, bank tisu dan tulang serta pejabat bagi Pusat Penyelidikan Transplan Nasional (NTRC).

“Apabila siap kelak, pusat ini dijangka boleh menampung sehingga 200 mayat pada satu masa. Dan sehingga September lalu, kemajuan fizikal di tapak ini adalah sebanyak 21.62 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi maklimat dan lawatan ke Tapak Projek IPFN di sini, hari ini.

“Projek itu juga telah dibina oleh Syarikat Gadang Engineering Sdn. Bhd. dengan kos RM189 juta dengan kaedah reka dan bina.

“Pelaksanaan IPFN dijalankan berdasarkan Revolusi Industri 4.0 (IR4) dengan penggunaan sepenuhnya teknologi Sistem Bangunan Industri (IBS) bagi pembinaan blok utama IPFN yang mencapai skor sebanyak 78.1 peratus,” tambahnya.

Projek yang diselia oleh Kementerian Kerja Raya itu juga mendapat pengiktirafan lima bintang  pada 2024 bagi Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan (SHASSIC) dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Projek kali ini agak istimewa kerana julung kalinya bangunan di bawah Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan solar panel di bumbung bangunan.

“Panel solar yang akan dibina membabitkan 30 peratus keluasan bumbung projek dan dijangka menjana penggunaan elektrik sebanyak 316 kW dan mampu menjimatkan elektrik sehingga RM99,250 setahun kepada pihak KKM,” jelasnya.

Hal ini selari dengan aspirasi kerajaan dalam penggunaan tenaga boleh guna semula dan menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bebas karbon menjelang tahun 2050. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here