KUALA LUMPUR – Gara-gara isu kononnya Abdullah Ismail tidak bersalam dengan Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini – Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd itu berjumpa dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu di Putrajaya hari ini.
Kali ini Abdullah dilihat bersalaman dalam satu gambar yang dimuat naik pengendali Facebook Mohamad atau dikenali Mat Sabu itu.
“Tengahari tadi Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif MADA Corp, Abdullah Ismail,” katanya.
Sebelum ini, Abdullah memohon maaf kepada Mat Sabu kerana dilihat tidak menyambut salam menteri itu menerusi video yang tular baru-baru ini.
Katanya, situasi sebenar yang berlaku bukan seperti yang dipertikaikan.
Jelasnya, beliau telah bersalaman dengan Mat Sabu dan pegawainya yang lain sebaik sahaja tiba di Kedah dalam lawatan kerja Isnin lalu.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan terkedu apabila melihat Mohamad sekali lagi menghulurkan tangan kepadanya.
“Untuk makluman semua, saya telah bersalaman dengan YBM KPKM sebaik sahaja beliau keluar dari kereta. Kemudian saya mengiringi menteri bersalaman dengan para pegawai lain.
“Ketika mengiringi menteri bersalaman dengan pegawai lain, beliau telah menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengan dengan saya.
“Oleh kerana saya telah bersalaman dengan beliau sebelum itu, saya jadi terkedu dan saya terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengannya,” katanya menerusi kenyataan. – MalaysiaGazette