Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 2 Tahun 2024 yang bersidang hari ini memperhalusi beberapa inisiatif berkaitan keterjaminan makanan termasuk penubuhan Jawatankuasa Kluster Indikator Keterjaminan Makanan Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara.

Jelas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ia bertujuan bagi memudahkan pembangunan, pengurusan dan pemantauan data keterjaminan makanan.

Tambah beliau, insiatif lain yang dibincangkan adalah memperkasakan industri akuakultur menerusi pembangunan kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA).

Ia bagi memenuhi peningkatan permintaan domestik dan menggalakkan eksport melalui naik taraf infrastruktur serta galakan pelaburan.

Selain itu, pembangunan industri ruminan negara melalui Pemerkasaan Program Pembangunan Ruminan turut dibincangkan.

Ini bagi mencapai Kadar Sara Diri (SSR) 25 peratus bagi daging lembu dan kerbau menjelang 2030.

Mesyuarat tersebut juga turut mempertimbangkan usaha mengukuhkan pengurusan kerintangan antimikrob (AMR) melalui penambahbaikan polisi dan garis panduan pelepasan efluen bagi sektor pertanian, ternakan dan akuakultur serta pelaksanaan penyelidikan berterusan.

“Mendepani situasi ini, pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) amat penting bagi memantapkan aspek keterjaminan makanan dalam berhadapan dengan persekitaran yang sentiasa berubah, tidak menentu, rumit dan samar (VUCA),” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, saranan dalam mesyuarat tersebut akan ditambah baik sebelum diangkat untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara kelak.

“Keterjaminan makanan merupakan tanggungjawab bersama dan satu keutamaan nasional.

“Kolaborasi strategik antara semua pihak amat penting dalam memastikan Malaysia kekal teguh dalam menghadapi cabaran keterjaminan makanan pada masa hadapan, demi kelangsungan sistem makanan negara,” katanya lagi.

Terdahulu katanya, mesyuarat tersebut dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi berperanan untuk merangka cadangan hala tuju keterjaminan makanan negara yang lebih inklusif serta mencadangkan strategi berfokus Kerajaan dalam menangani isu keterjaminan makanan negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast