Rahmad (tengah) bersama peserta selepas merasmikan Forum Sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Ceramah Kekeluargaan di Auditorium Masjid al-Azim, Bukit Palah, Melaka hari ini.

MELAKA – Kes poligami tanpa kebenaran di Melaka tahun ini merekodkan peningkatan lima kali ganda berbanding dua tahun lalu, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Menurutnya, kesalahan mengikut Seksyen 124 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 itu merekodkan lima kes pada 2022 dan meningkat kepada 15 kes tahun lalu.

“Setakat September tahun ini pula, kesalahan poligami tanpa kebenaran mahkamah sudah merekodkan 28 kes yang berpunca daripada kurangnya kesedaran masyarakat mengenai pentingnya pengesahan nikah ini.

“Mereka (suami) nampaknya lebih suka gunakan konsep minta maaf daripada minta izin dan kesudahannya bila dapat zuriat yang tidak boleh dibinkan dengan nama bapa, ia memberi kesan kepada masa depan anak sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Ceramah Kekeluargaan di Auditorium Masjid al-Azim, Bukit Palah di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka Atras Mohamad Zin dan Timbalannya Norazita Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan anak pasangan poligami tidak dapat menyambung pelajaran walaupun mendapat keputusan cemerlang.

Rahmad Mariman

“Ada beberapa kes sebelum ini anak pasangan ini mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tapi tidak dapat diberikan anugerah kerana status anaknya itu.

“Contohnya, kalau suami poligami dengan wanita Indonesia, bila pendaftaran status bapa itu tiada, status ibu bukan warga negara jadi status anak itu bagaimana?

“Sebab itu saya minta mana-mana lelaki yang nak poligami itu buatlah pengesahan nikah di mahkamah supaya tidak menyusahkan anak kelak,” katanya.

Tambahnya, bagi mempercepatkan proses permohonan kebenaran berpoligami, Mahkamah Syariah juga kini mengadakan perbicaraan di kamar hakim, bukan di galeri awam seperti sebelumnya.

“Proses ini lebih cepat dan tidak perlu tunggu giliran dengan lain-lain seperti judi dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here