KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan program pendidikan untuk kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) bermula sejak Selasa lalu.
KPM menerusi kenyataan berkata, program tersebut dirangka khusus demi memastikan kanak-kanak berkenaan menerima akses pendidikan dalam masa yang sama mengelak berlaku keciciran pembelajaran.
Program berkenaan menekankan aspek sosioekonomi, kognitif dan fizikal kanak-kanak bagi membina keyakinan diri.
“Bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan, program ini menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan
Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA),” jelasnya.
Selain itu tambah KPM, modul program itu turut menerapkan elemen yang dapat meningkatkan kesedaran potensi diri serta memupuk keseimbangan kanak-kanak ini dari aspek jasmani, emosi, rohani, social dan intelek (JERSI) sebagai persediaan untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran secara positif dan baharu.
“Selaras dengan agenda Pendidikan Manusiawi, KPM komited memastikan kanak-kanak terlibat mendapat peluang pendidikan terbaik dan tiada yang terpinggir,” tambahnya.
Katanya lagi, seramai 68 orang guru terlibat secara langsung dalam program yang dilaksana dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, KPM akan mengambilalih aspek pendidikan ke atas sekurang-kurangnya 300 anak pengikut GISBH yang kini ditempatkan di rumah perlindungan.- MalaysiaGazette