Tangkap layar menunjukkan suspek ditahan anggota polis trafik selepas melanggar lampu isyarat merah di Ayer Itam, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang bertindak agresif dengan memaki hamun anggota polis trafik mengundang padah apabila ditahan di Taman Paya Terubong, Ayer Itam di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 25 tahun itu ditahan anggota trafik pada jam 6.45 petang selepas didapati melanggar lampu isyarat merah di hadapan sebuah pasar raya di Lebuh Raya Thean Teik di sini.

“Bagaimanapun, ketika anggota tersebut mahu mengeluarkan saman terhadap lelaki terbabit, dia tiba-tiba bertindak memaki hamun serta mengeluarkan perkataan kesat.

“Susulan itu, anggota berkenaan membuat laporan sebelum tangkapan dibuat ke atas suspek tersebut pada jam 10.30 malam hari yang sama.

“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 5 Oktober depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Swee Sake turut menasihatkan orang ramai khsususnya pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta bersikap hemah bagi memastikan keselamatan semua.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi lebih tiga minit menunjukkan suspek tidak puas hati ke atas anggota polis trafik yang mengeluarkan saman terhadapnya.

Berdasarkan rakaman tersebut suspek mengeluarkan beberapa kata kesat meskipun menyedari perbuatannya dirakam anggota tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here