Kredit: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Selangor.

KUALA LUMPUR – Lima individu termasuk seorang kanak-kanak berjaya diselamatkan setelah terperangkap dalam kejadian kepala air yang berlaku di sebuah sungai di Kampung Batu, 10, Cheras malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pukul 9.05 malam tadi.

Seramai enam anggota serta sebuah jentera dari Pasukan penyelamat dari balai Bomba dan Penyelemat Bandar Tun Hussin Onn tiba di lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Lima mangsa terdiri daripada tiga lelaki dewasa berusia 30-an, seorang wanita dewasa, 28 tahun dan kanak-kanak berusia lima tahun.

“Peralatan tangga digunakan untuk membantu mangsa menyeberangi sungai,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan. – MalaysiaGazette