Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beredar selepas mendengar sebutan kes mengenai pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang hasil aktivit haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 03 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan sementara pasportnya untuk bercuti bersama isterinya ke ke Uzbekistan.

Muhyiddin yang juga Presiden parti Bersatu itu sedang berdepan kes rasuah dan salah guna kuasa sehingga menyebabkan pasport miliknya disimpan oleh mahkamah sehingga kes-kes itu selesai.

Hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menolak permohonan Muhyiddin dan menasihatkannya untuk bercuti dalam negara sahaja.

“Pemohon boleh bercuti menjalani kehidupannya seperti biasa tetapi bukanlah di luar negara dengan ini mahkamah menolak permohonan ini,” katanya hari ini.

Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat membantah permohonan kerana permohonan ke luar negara itu dianggap remeh dan tidak munasabah.

“Pemohon memberi alasan untuk bercuti kerana tertekan dengan pertuduhan mahkamah, penat dan perlu bercuti bersama keluarga hingga ke luar negara adalah remeh.

“Percutian ini boleh dibuat dalam Malaysia,” hujahnya.

Manakala peguam mewakili Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, anak guamnya sentiasa bekerjasama dalam menghadirkan diri ke mahkamah dan langsung tidak berisiko melarikan diri.

Sebelum ini, mahkamah pernah beberapa kali memulangkan pasport Muhyiddin selepas permohonannya untuk mendapatkan rawatan kesihatan di luar negara selain hadir ke majlis graduasi cucunya di London.

Ketika ini, Muhyiddin sedang berdepan kesalahan salah guna rasuah dalam projek Jana Wibawa berjumlah RM232.5 juta.

Muhyiddin juga berdepan pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here