Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah vesel nelayan tempatan Kelas C kerana disyaki melanggar syarat sah lesen bersama lima orang kru warganegara Myanmar termasuk tekong pada kedudukan 1.2 batu nautika dari tenggara perairan Kuala Tembeling dekat Jerantut pada semalam.

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan lima orang kru warganegara Myanmar termasuk tekong pada kedudukan 1.2 batu nautika dari tenggara perairan Kuala Tembeling dekat Jerantut semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, semua lelaki berusia antara 28 hingga 40 tahun itu berada dalam sebuah vesel nelayan tempatan Kelas C ditahan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen.

”Ketika itu pihak Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan Op Makmur dan Preventive Sar dan mengesan sebuah vesel nelayan sedang bersauh dalam keadaan mencurigakan pukul  9 pagi.

”Hasil pemeriksaan lanjut, vesel itu disyaki melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah iaitu menggajikan pekerja warga asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes juga akan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sewaktu diperiksa.

Vesel dan kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway bersama peralatan menangkap ikan serta hasil laut yang dianggarkan sebanyak 2,300 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here