KUANTAN – Operasi Bersepadu Gempur Aedes terjah lebih 200 premis perindustrian yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di sekitar Indera Mahkota 14 dekat sini hari ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Ir. Razali Kassim berkata ia dijalankan bagi mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap pemilik premis.
Ia termasuk kilang, bengkel dan gudang yang membiakkan atau mempunyai tempat-tempat yang berpotensi untuk membiakkan jentik-jentik aedes.
Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah mempergiatkan usaha bagi menangani peningkatan kes demam denggi melalui tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.
”Tindakan ini sekali gus dapat menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca penularan demam denggi di kawasan industri terutamanya yang berhampiran dengan kawasan penempatan penduduk.
”Kawasan ini perlu diberi perhatian memandangkan kehadiran ramal pekerja dari pelbagai tempat, yang meningkatkan risiko penularan demam denggi jika tidak diambil langkah segera,” katanya selepas menyertai operasi yang dijalankan petang tadi.
Operasi turut disertai Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman melibatkan seramai 52 pegawai diberikuasa daripada JKNP, dan 40 pegawai diberikuasa dari agensi lain melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Menurutnya pemilik premis yang didapati membiak nyamuk Aedes di premis mereka akan dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM 500.
Sekiranya kompaun tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan pendakwaan di mahkamah akan dijalankan.
Pemilik premis yang disabitkan kesalahan di mahkamah boleh dikenakan denda maksimum RM 10,000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan untuk kesalahan kedua denda maksimum RM 50,000 atau 5 tahun penjara atau kedua- duanya sekali. – MalaysiaGazette