Razali menyempurnakan gimik pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia kali pertama di Lokaliti Taman Pasdec Makmur Indera Mahkota 2, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Pahang mencatatkan lima kematian akibat wabak demam denggi sepanjang tahun ini berbanding tahun lalu yang merekodkan satu kematian.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan,  Datuk Razali Kassim berkata, peningkatan 400 peratus itu membabitkan kes kematian di lima daerah.

”Pahang merekodkan sebagai kedua tertinggi kes kematian akibat denggi di Malaysia. Masing-masing satu kes kematian di Bentong, Bera, Kuantan, Raub dan Rompin dan kebanyakan di kawasan Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia kali pertama di Lokaliti Taman Pasdec Makmur Indera Mahkota 2 di sini hari ini.

Jelas Razali, sebanyak 1,130 premis dikeluarkan notis kompaun  di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975  dengan jumlah kompaun bernilai RM565,000.

Manakala Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang telah membuat pemeriksaan sebanyak 410,265 buah premis dan daripada jumlah itu  4,797 premis disahkan positif pembiakan aedes.

Projek Pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia di Malaysia adalah satu pendekatan untuk mencegah dan mengawal jangkitan kes demam denggi.

Pendekatan itu telah dimulakan sejak tahun 2019 di seluruh negara secara berfasa.

Sehingga hari ini, sejumlah 540,000 ekor nyamuk dewasa telah dilepaskan di PPRS Pinggiran Putra manakala di Taman Impianku sejumlah 264,600 ekor nyamuk dewasa telah dilepaskan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman menasihati mangsa yang mempunyai simptom demam denggi agar mendapatkan rawatan awal di klinik kesihatan berhampiran lokaliti masing-masing.

Ini, katanya, kebanyakan pesakit lewat mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan wabak denggi menyerang di peringkat berbahaya dan kronik.

”Berdasarkan statistik mangsa dalam lingkungan 40 hingga 65 tahun dan mereka yang berusia,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here