KUANTAN – Atlet Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Pahang yang berjaya memenangi pingat emas nakal menerima insentif sebanyak RM6,000 sama seperti atlet SUKMA sebelum ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri bersetuju menaikkan insentif pingat emas atlet Para Sukma daripada RM5,000 kepada RM6,000.
Manakala insentif kepada pemenang pingat Perak ialah RM3,000 dan pingat Gangsa ialah RM2,000.
”Keputusan itu (insentif) dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bagi menghargai pencapaian membanggakan atlet Para Sukma di negeri ini.
“Syabas kepada Kontinjen Para Sukma Pahang yang diterajui Fadzli Mohamad Kamal (Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan- Badan Bukan Kerajaan) dan Khairulnizam Mohd Zuldin, (Ahli Dewan Undangan Negeri,Kemayan) atas pencapaian yang membanggakan ini,”
Atlet Para SUKMA Pahang berjaya memperoleh 29 pingat dengan 15 emas, lima perak dan sembilan gangsa membolehkan negeri ini menduduki tangga ketujuh secara keseluruhan pada temasya itu baru-baru ini.
Tambah Wan Rosdy pasukan atlet Pahang berjaya melepasi sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.
Ujarnya kejayaan yang diraih oleh atlet Para Sukma menjadi inspirasi kepada semua pihak hasil daripada ketekunan dan semangat juang yang luar biasa.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada atlet Para Sukma Pahang yang telah menyertai Para Sukma XXI di Sarawak pada 22 hingga 28 September lalu,” katanya.
“Teruskan usaha ini dan jadikan pengalaman di Sarawak sebagai pembakar semangat untuk kejayaan yang lebih besar terutamanya dalam menghadapi Para Sukma di Selangor pada tahun 2026,” katanya. – MalaysiaGazette