Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Polis menafikan terdapat kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun disembelih jirannya di Kuantan, Pahang seperti yang ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu menjelaskan, kanak-kanak terbabit hanya mengalami cedera ringan akibat dicederakan menggunakan garfu oleh suspek yang merupakan jiran dan mempunyai pertalian keluarga dengannya.

Katanya, mangsa telah pun menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Menurut Wan Mohd Zahari, berdasarkan keterangan ahli keluarga mangsa, pelaku yang juga pelajar sebuah universiti awam itu mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu.

“Mangsa dicederakan oleh seorang individu berusia 25 tahun menggunakan garfu di bahagian leher. Akibat kecederaan itu, mangsa melarikan diri ke rumah jirannya.

“Ini menyebabkan berlaku kekecohan antara jiran dan individu yang mencederakan kanak-kanak itu.

“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian air kencing juga negatif daripada salah guna dadah. Siasatan lanjut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan.

“Dalam kes ini, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran dan ketakutan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Zahari, pihak polis menerima maklumat awal mengenai kes itu daripada orang awam melalui Pusat Kawalan Daerah (DCC) Kuantan pada jam 7.45 malam semalam sebelum mengarahkan sepasukan polis dari Balai Polis Jaya Gading ke lokasi kejadian. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here