Ramasamy mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak di Ipoh baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pengerusi MIC Perak yang baharu dilantik, Tan Sri M Ramasamy berikrar memperkasa parti terbesar masyarakat India itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ramasamy yang juga Bendahari Agung MIC itu sudah memulakan gerak kerja dengan membuat lawatan dan pertemuan setiap bahagian serta lebih 600 cawangan MIC keseluruhan Perak sejak pelantikannya pada 4 Ogos lepas.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ramasamy berkata, sejak lantikannya lebih 50 hari ini, beliau sudah turun menemui hampir sebahagian ahli-ahli MIC Perak selain pelbagai perancangan termasuklah menambah keahlian di negeri itu khasnya golongan muda mudi.

“Kita hendak memperkasakan parti dan bekerjasama dengan komponen Barisan Nasional (BN) serta lain-lain di negeri Perak sebagai strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU) dalam beberapa tahun ini.

“Untuk itu, saya telah mengadakan pertemuan dengan setiap ahli dan pemimpin negeri terutamanya cawangan MIC yang merupakan struktur asas parti. Setiap pertemuan saya tekankan kepentingan menambahkan keahlian terutamanya dalam kalangan pengundi muda seawal usia 18 tahun.

“MIC Perak juga perlu menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah 240,000 pengundi India di Negeri Perak sebagai pengundi putih BN dan juga ahli-ahli MIC,” katanya hari ini.

Ramasamy bersama ahli MIC Perak baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ramasamy sempat membuat kunjungan hormat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut mengalu-alukan kerjasama selain pemerkasaan MIC bersama komponen lain.

“Beliau sangat positif dengan setiap perancangan yang sedang menyediakan kami untuk menghadapi PRU-16. Banyak program besar yang akan diadakan dari masa ke semasa akan di adakan bagi memastikan parti ini terus aktif.

“Saya juga telah memberikan pencerahan mengenai hala tuju, agenda MIC Perak bawah kepimpinan beliau selain turut memaklumkan pelbagai isu serta aspirasi masyarakat India yang turut memerlukan tindakan dan sokongan kerajaan negeri.

“Saarani juga melahirkan komitmen tinggi dalam membantu memperkukuhkan parti sekaligus mendekati masyarakat setempat. Semua ini akan dilaksanakan dengan semangat setiakawan BN sejak dulu lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, selama  bergerak lebih dua bulan di Perak, Ramasamy menerima sokongan yang baik dalam kalangan ahli dan masyarakat setempat malah setiap program turut dihadiri ratusan hingga ribuan orang pada satu-satu masa.

“Ketika ini, rata-rata masyarakat sudah menyedari kepentingan kita dalam perjuangan rakyat. Fokus kita adalah rakyat namun sebelum itu kita perlu memperkuatkan parti kita sendiri,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Program-program yang dihadiri ribuan hadirin komuniti India.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here