Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS hari ini tetapi meningkat berbanding mata wang utama lain berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu terus mengukuh dalam persekitaran risiko geopolitik yang meningkat, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1735/1985 berbanding dolar AS daripada 4.1730/1790 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus kekal pada paras tinggi, naik sebanyak 0.48 peratus kepada 101.677 mata berikutan permintaan meningkat terhadap mata wang selamat.

“Pendapat kami ialah pasaran memantau kemungkinan tindakan balas oleh Israel (susulan serangan peluru berpandu Iran) dan bagaimana perkembangan konflik di Timur Tengah pada masa depan.

“Ringgit dijangka kekal rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kebimbangan yang berterusan mengenai situasi di rantau Timur Tengah,” katanya kepada Bernama.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8482/8657 daripada 2.8931/8975 pada Rabu, naik berbanding euro kepada 4.6100/6377 daripada 4.6208/6274 semalam dan meningkat berbanding pound kepada 5.5357/5689 daripada 5.5472/5551.

Sementara itu, mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2298/2496 daripada 3.2386/2436 semalam dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.6854/7711 daripada 12.7350/7587 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 273.3/275.1 daripada 273.2/273.8 pada Rabu dan sedikit berubah berbanding peso Filipina kepada 7.43/7.48 daripada 7.43/7.44 sebelum ini. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here