Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bergambar bersama pemenang yang menerima anugerah pada Majlis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2024 di Dewan Tunku Agong Canselor, UiTM Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 01 OKTOBER 2024

SHAH ALAM – Bulan Akademia merupakan sambutan bagi menghargai sumbangan pensyarah serta meraikan golongan pendidik di peringkat institusi pendidikan tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, sambutan Bulan Akademia merupakan manifestasi penghargaan negara terhadap sumbangan ahli akademik di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan swasta yang sentiasa gigih dan komited dalam membangunkan modal insan negara ke arah pembangunan lestari negara.

Malah Hari Akademia disambut pada setiap 5 Oktober dan menjadi satu sambutan tahunan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyampaikan anugerah kepada penerima bagi Kategori Umum Program Pengajian Inovatif dari Taylor’s Universiti pada Majlis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2024 di Dewan Tunku Agong Canselor, UiTM Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 01 OKTOBER 2024

“Kalau kita lihat sambutan hari guru itu dilancarkan, dilaksanakan dengan penuh warna-warni, dengan penuh kemeriahan bagi kita menghormati jasa guru-guru sama ada yang telah bersara ataupun yang masih berkhidmat.

“Justeru, saya juga telah menyeru supaya hari akademia ini diangkat,” katanya kepada media ketika ditemui sempena Majlis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2024 (AKRI 2024), di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Zambry berkata, beliau berharap agar sambutan Hari Akademia ditingkatkan daripada segi prestij.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melawat reruai yang disediakan pada Majlis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2024 di Dewan Tunku Agong Canselor, UiTM Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 01 OKTOBER 2024

Ujarnya, program ini perlu dipenuhi dengan acara gilang gemilang dengan pengisian-pengisian termasuklah memberikan pengiktirafan kepada jasa-jasa tenaga akademik di institusi pendidikan tinggi di universiti dan politeknik.

Ia juga termasuk kepada pensyarah-pensyarah yang menabur jasa di kolej komuniti kerana Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai tiga institusi besar dalam ekosistem pendidikan tinggi tempatan meliputi universiti, politeknik dan juga kolej komuniti.

“Jadi, saya harap dengan idea ini akan mencerminkan tentang sumbangan besar para akademia dalam dunia pendidikan di Malaysia dan ia dianjurkan seperti yang kita lihat pada hari inilah (kelmarin),” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here