Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

KOTA TINGGI – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pengurusan berkaitan bencana negara kini perlu berpandukan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1.

Timbalan Perdana Menteri mahu setiap pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana perlu cakna dengan arahan terbaharu yang dikuatkuasakan pada 1 Ogos lalu.

Jelas beliau, dokumen itu sebagai panduan utama ke arah mengurangkan risiko, meminimumkan impak bencana dan mewujudkan negara yang berdaya tahan bencana.

Menurutnya, semuanya melalui strategi pengurusan risiko yang komprehensif dan inklusif, merentasi sektor serta mengarusperdanakan usaha-usaha yang berkaitan.

“Mesyuarat dimaklumkan bahawa Arahan NADMA No 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2024.

“Arahan NADMA No.1 ini ditambah baik selaras dengan keperluan semasa pengurusan bencana merangkumi antara pengemaskinian peranan dan tanggungjawab, tatacara dan pengurusan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 2 bagi tahun 2024 di Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Katanya, mesyuarat turut dimaklumkan bahawa NADMA melalui penyelarasan dengan agensi-agensi teknikal dan tindak balas jabatan dan agensi berkaitan sudah bersedia menghadapi Monsun Timur Laut (MTL 2024/2025).

Melibatkan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi kerajaan lain.

Jabatan dan agensi terbabit katanya, bersedia daripada segi pengurusan mangsa bencana di pusat pemindahan sementara (PPS), pelaporan dan pemantauan di lapangan melalui sistem Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan (DGIM) serta persediaan aset dan sumber manusia.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga bersetuju bantuan makanan bencana negara tidak terhad diberikan kepada mereka yang terlibat ketika bencana MTL tetapi kepada mereka yang terjejas akibat bencana sepanjang tahun.

Beliau mengambil maklum persediaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan persiapan PPS yang sudah mengenal pasti 8,481 PPS dengan kapasiti 2,158,743 mangsa banjir selain memastikan kemudahan asas turut diberikan perhatian.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here