Ahmad Zahid melihat bot yang akan digunakan semasa banjir selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Kesiapsagaan Nasional 2024 di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi hari ini

KOTA TINGGI – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, sistem amaran awal bencana banjir seluruh negara sedia diaktifkan menjelang Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pelaksanaan sistem amaran awal banjir adalah penting untuk dijadikan panduan memindahkan penduduk di kawasan terjejas lebih awal sebelum bencana berlaku.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, langkah tersebut juga akan memudahkan kerja-kerja pemindahan mangsa banjir.

“Agensi keselamatan juga sudah diarahkan mengenal pasti risiko banjir di kawasan pendalaman lebih awal supaya koordinasi dapat dilakukan dengan berkesan dan selamat.

“Ini terutamanya kawasan pedalaman yang sukar dimasuki, jadi kita di peringkat awal ini bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membuat koordinasi untuk sampai ke lokasi bencana di kawasan pendalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Kesiapsagaan Nasional 2024 di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya di sini hari ini

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

MTL dilaporkan dijangka bermula pada November depan dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang, dilaporkan berkata, hujan lebat diramal melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sistem amaran awal bencana banjir daripada Jabatan Meterologi (METMalaysia) sedia diaktifkan apabila tiba masanya.

Pada masa sama katanya, bomba juga telah mencipta sistem amaran yang juga alat bagi mengesan jika paras sungai menghampiri paras bahaya.

“Alat khas ini tidak gunakan tenaga elektrik kerana risiko tenaga elektrik terputus ketika bencana jadi ia menggunakan kombinasi solar dan bateri.

“Jadi kita sudah bersiap siaga dengan sistem amaran awal selain daripada pergerakan pasukan penyelamat yang akan dikoordinasi bagi membantu kawasan bencana,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mahu negeri yang kerap dilanda banjir supaya melakukan persediaan dan menambah baik cara pengurusan risiko menjelang MTL.

Beliau berkata, persediaan awal adalah penting dalam mengurangkan risiko kehilangan nyawa, kerugian serta kemusnahan harta benda kesan daripada bencana alam itu.

“Sehubungan itu, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah  menambah baik Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan memperkenalkan inisiatif Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB).

“Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya milik Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) di sini, adalah PPKB yang pertama siap dinaik taraf dan bersedia untuk digunakan bagi menghadapi bencana akibat MTL pada tahun ini.

“Bagi Johor, Sekolah Kebangsaan Seri Medan, Batu Pahat adalah lokasi kedua yang terpilih sebagai PPKB dengan pembinaannya dijangka siap pada November 2025.

“Selain itu, PPKB juga akan dibina sebagai perintis membabitkan lapan lagi negeri yang telah dikenal pasti iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast