KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyambut baik jika kerajaan membuat keputusan untuk bersikap tegas dalam pemberian bantuan.
Bagaimanapun ia tidak sepatutnya melibatkan kelompok pelajar yang cemerlang meskipun dalam kalangan keluarga kaya, kata Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam.
Menurutnya, ia merupakan tindakan menafikan biasiswa pendidikan yang perlu dilihat sebagai penghargaan kepada pelajar yang bertungkus lumus.
Jelasnya, latar belakang keluarga pelajar tidak seharusnya mempengaruhi peluang untuk menerima bantuan pendidikan.
“Ia tidak patut diliabelkan mengikut kategori sosio-ekonomi seseorang. Keadilan dalam pendidikan adalah sangat penting dan latar belakang keluarga seorang kanak-kanak tidak seharusnya mempengaruhi peluang mereka untuk menerima pendidikan berkualiti.
“Kerajaan perlu mengambil langkah untuk memastikan semua pelajar tanpa mengira status ekonomi keluarga mereka mendapat sokongan dan sumber yang diperlukan.
“Ini termasuk biasiswa, bantuan kewangan serta bantuan lain. Dengan cara ini, keadilan pendidikan dapat dicapai dan setiap kanak-kanak berpeluang untuk mengembangkan potensi mereka,” katanya menerusi kenyataan.
Justeru Wendy berkata, kerajaan tidak patut mengabaikan usaha untuk memberi peluang dan bantuan Pendidikan yang adil kepada semua golongan.
“Anak dari keluarga yang kaya tidak bermakna mereka secara automatik kaya daripada segi peribadi. Kanak-kanak yang memperoleh keputusan cemerlang melalui usaha mereka sendiri sepatutnya mendapat layanan yang adil daripada sistem pendidikan negara.
“Selepas tamat pengajian, mereka juga akan menyumbang kepada negara dan masyarakat dan berkemungkinan mencipta nilai yang lebih besar.
“Oleh itu, kerajaan perlu lebih tepat dalam merangka laluan pembangunan pendidikan domestik dan perancangan masa depan bagi pelajar, untuk melahirkan lebih ramai bakat yang sesuai dengan keperluan negara dan masyarakat,” katanya lagi.
Isnin yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kerajaan mungkin menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik negara.
Menyifatkan tindakan membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan sebagai tindakan tidak adil, Anwar menegaskan, dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin.
Menurutnya, kerajaan mahu bersikap adil dalam mengagihkan bantuan dengan mengutamakan kumpulan memerlukan seperti golongan rentan.- MalaysiaGazette