Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif (dua dari kanan) dalam sidang media di Menara Jabatan Penguatkuasa DBKL, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum menerima arahan untuk menutup premis perniagaan Global Ikhwan Service and Business Holdings Sdn .Bhd. (GISBH) di ibu negara.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, pihaknya akan memberi kerjasama penuh sekiranya ada arahan untuk menutup premis milik GISBH.

“Bagaimanapun, tiada lagi arahan yang kami terima dan setakat ini, siasatan masih lagi di bawah pihak polis.

“Jika kami menerima arahan dari peringkat atasan, sudah semestinya kami akan memberi kerjasama,” katanya dalam sidang media selepas Sambutan Hari Penguat Kuasa ke-55 di Menara Jabatan Penguatkuasa DBKL di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Selangor telah memberi arahan kepada semua premis GISBH di negeri itu ditutup berkuatkuasa serta-merta dan segala aset syarikat berkenaan dirampas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengumumkan sendiri keseluruhan premis termasuk rumah perlindungan dan sekolah agama GISBH di Selangor yang terlibat.

Dalam pada itu, Maimunah memberitahu, kadar bayaran tempat letak kereta di Taman Botani sudah dipinda bermula 1 September lepas.

“Kadar parkir sudah dipinda kepada dua jam pertama untuk RM3 dan setiap jam berikutnya RM1 berbanding sebelum ini RM4 sekali masuk,” tambahnya.

Hari ini telah berlangsung Sambutan Hari Penguatkuasaan yang ke-55 di Padang Kawad, Menara Penguat Kuasa DBKL.

Dalam upacara itu, seramai 482 anggota penguat kuasa dan kakitangan awam DBKL telah terlibat dalam pelbagai persembahan seperti pantomim, persembahan gabungan motosikal trafik dan basikal serta persembahan seni mempertahankan diri. – MalaysiaGazette