Dr Zambry Abd Kadir

PUTRAJAYA – Tiada keperluan untuk memansuhkan pelaksanaan minggu orientasi membabitkan mahasiswa baharu yang mendaftar masuk ke universiti awam (UA).

Ini kerana, minggu orientasi yang dilaksanakan di univesiti seluruh negara bertujuan memastikan mahasiswa dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurutnya, meskipun mungkin terdapat masalah di sesuatu tempat mengenai aktiviti itu, namun, tidak wajar ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak sesuai kerana ia mungkin berlaku di sesuatu tempat sahaja.

“Orientasi itu seharusnya menjadi program untuk menyesuaikan diri (membabitkan) pelajar baharu yang datang ke sebuah universiti, kolej dan sebagainya bagi tempoh yang panjang, mungkin ada yang empat tahun, ada tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2024 di sini, hari ini.

Baru-baru ini tular video memaparkan situasi minggu orientasi di sebuah UA di Johor apabila beberapa individu bertengkar, sebelum ia bertukar menjadi satu kejutan atau digelar ‘prank’ bagi menyambut ulang tahun kelahiran seorang daripada fasilitator.

Susulan itu, ramai pihak berpandangan pengisian minggu orientasi terbabit seolah-olah berlebihan dan tidak seharusnya berlaku.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pendekatan baharu termasuk dari segi pengisian minggu orientasi yang lebih bersesuaian perlu dilaksanakan.

“Pengisiannya penting sebagai proses sosialisasi untuk pelajar mengenali di antara satu sama lain, kedua ialah untuk penyesuaian diri mereka dengan tempat (universiti) berkenaan dan ketiga dari segi membina tradisi penting,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau menegaskan, pihaknya sudah memaklumkan kepada pengurusan UA terbabit berhubung video ‘prank’ yang tular di media sosial itu.

Katanya, beliau menggesa supaya perkara seumpama itu tidak akan berulang pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast