Seorang tentera maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 3, Jalan Kluang-Nyior, Kluang malam tadi.

KLUANG – Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 3, Jalan Kluang-Nyior, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 11.04 malam itu melibatkan motosikal jenis Yamaha Ego LC (K2) ditunggang mangsa dengan kereta Honda Civic 1.8S.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta itu dari jalan Nyior menghala ke bandar Kluang manakala motosikal tersebut dari Kluang menghala ke Nyior.

“Sampai di tempat kejadian, kereta itu dengan cuai telah memotong sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran tidak pasti di kawasan garisan berkembar.

“Ini menyebabkan kereta tersebut bertembung dengan motosikal mangsa yang berada di laluannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa, Yuskhairi Zailani, 37, cedera parah di kaki, badan dan kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Ence’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini.

Menurutnya, pemandu kereta tersebut merupakan seorang lelaki berusia 37 tahun dan bekerja sebagai mekanik, cedera ringan di muka, tangan dan kaki.

Beliau berkata, pemandu tersebut mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta manakala mangsa meninggal dunia semasa dirawat di Zon Merah HEBHK pukul 3.30 pagi tadi.

Tambahnya, bedah siasat dijalankan pukul 10 pagi ini untuk mengenal pasti punca kematian.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast