Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) bercakap pada sidang media mengenai pemilihan parti tersebut di Ibu Pejabat BERSATU Malaysia, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 04 OKTOBER 2024

PETALING JAYA – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan jentera Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Johor lemah dan merupakan punca kekalahan parti itu.

Sebaliknya, beliau memuji Pengarah Pilihan Raya Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana mampu menyediakan jentera parti yang terbaik meskipun rakyat Johor tidak memenangkan calonnya.

“Saya mendapati Pengarah Pilihan Raya kami, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telahpun menyedikan satu jentera pilihan raya yang mantap.

“Saya berpandangan jentera pilihan raya kami sewaktu di DUN Mahkota adalah antara yang terbaik. Malangnya keputusan tidak menyebelah pihak kami, tapi kami akan bangkit semula.

“Datuk Seri Azmin, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh kepimpinan Bersatu akan bekerjasama dengan lebih kuat bagi memastikan kami lebih kuat di masa akan datang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu, di sini, hari ini.

Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hadir pada sidang media mengenai pemilihan parti tersebut di Ibu Pejabat BERSATU Malaysia, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 04 OKTOBER 2024

Pada 28 September lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi.

Ahmad Faizal berkata, Bersatu menerima kekalahan itu dan menyatakan komitmen untuk memperkemaskan jentera pilihan raya pada masa akan datang.

“Kita menerima keputusan itu atas semangat demokrasi yang kuat dalam kalangan rakan-rakan dalam PN.

“Segala perkara yang kami alami di dalam PRK Mahkota kita ambil sebagai iktibar.

“Insya-Allah di masa akan datang kami akan meneruskan usaha untuk memastikan perjuangan kami diterima dalam kalangan rakyat, terima kasih,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast