Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebahagian 900 pusat dialisis swasta di negara ini berkemungkinan terpaksa dihentikan operasi disebabkan pelbagai kos tinggi jika tiada pembelaan sewajarnya.

Antara lain disebabkan kos operasinya semakin meningkat termasuk gaji petugas seperti doktor dan jururawat selain kos peralatan seperti mesin dialisis juga bertambah mahal.

Manakala bayaran pesakit menjalani dialisis pula sejak 30 tahun lalu tidak berubah walaupun kos berkaitan pusat-pusat dialisis swasta itu terus meningkat.

Pengerusi Persatuan Profesional Dialisis Malaysia (PPDM), Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz ketika mendedahkan perkara itu memberitahu, keadaan itu akan bertambah kritikal memandangkan jumlah pesakit baharu juga bertambah.

Menurutnya, kerajaan harus melihat dan mencari jalan penyelesaian dalam perkata ini kerana untuk membuka sebuah pusat dialisis swasta ia melibatkan perbelanjaan RM1.5 juta hingga RM2 juta tidak termasuk gaji para petugas.

“Kerajaan harus sedar mengenai kekangan yang dihadapi setiap pusat dialisis swasta di negara ini. Kewujudan pusat dialisis swasta ini bukan untuk mencari keuntungan sebaliknya ia berperanan membantu hospital dan pusat kesihatan kerajaan yang tidak mampu menampung jumlah pesakit buah pinggang yang semakin bertambah.

Dr. Zulkifli Abdul Aziz

“Dianggarkan terdapat kira-kira 900 pusat dialisis swasta di seluruh negara yang memberi khidmat dialisis kepada lebih 30,000 pesakit buah pinggang.

“Kehadiran pusat dialisis swasta ini bagi mengurangkan beban yang ditanggung hospital kerajaan,” katanya di sini baru-baru ini.

Di samping itu, Dr Zulkifli berkata, kerajaan juga harus sedar bahawa kos yang dikenakan bagi seorang pesakit buah pinggang bagi setiap kali rawatan juga tidak selaras.

Menurutnya, kos pada masa kini kos RM150 hingga RM200 bagi seorang pesakit untuk sekali rawatan dan seharusnya kerajaan menetapkan agar ia selaras iaitu RM200 setiap kali rawatan.

Jelasnya, penyelarasan kos rawatan pesakit itu amat penting bagi memberi rawatan berkualiti yang juga melibatkan pembelian peralatan bermutu tinggi.

“Kita tidak mahu ada pusat dialisis swasta membeli dan menggunakan peralatan tidak berkualiti. Pesakit perlu diberi perkhidmatan yang terbaik.

“Kerajaan juga harus sedar, pusat dialisis swasta ini tidak pernah tutup walaupun ketika negara dilanda Covid-19. Jika satu hari sahaja ditutup pasti ia memberi kesan besar kepada pesakit termasuk meninggal dunia.

“Malah dalam keadaan tertentu banyak pusat dialisis swasta langsung tidak mementingkan bayaran disebab mengetahui keadaan ekonomi seseorang pesakit itu.

“Apabila ada pesakit tidak hadir rawatan yang ditetapan mengikut jadual, petugas akan cuba mengesan punca mereka tidak hadir dan antara faktornya kerana kekangan kewangan,” katanya.

Di samping itu, Dr Zulkifli juga meminta kerajaan mempertimbangkan agar lesen untuk pusat dialisis swasta dilanjutkan dari dua tahun kepada tiga hingga lima tahun.

“Ini penting bagi membolehkan sesebuah pusat dialisis itu menumpukan perhatian kepada rawatan terhadap pesakit selain dapat merancang pembangunan pusat dialisis berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan pusat dialisis swasta juga menghadapi masalah untuk mendapatkan lesen kerana kerap kali terpaksa menunggu satu hingga satu tahun setengah sebelum berjaya memperolehi lesen untuk beroperasi.

Dr Zulkifli berharap, kekangan dihadapi pusat dialisis swasta dapat diberi perhatian memandangkan kerajaan madani sentiasa mementingkan kebajikan rakyat terutama golongan yang menghadapi masalah kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast